Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif untuk melancarkan secara rasmi kempen “Buy Muslim First (BMF)” pada 2 April 2019. Pulau Pinang adalah negeri pertama yang menyahut kempen ini dengan matlamat untuk menaikkan kuasa beli umat Islam di Pulau Pinang dan pada masa yang sama , membantu komuniti perniagaan Islam di negeri ini.
Ini adalah langkah proaktif Ummah Pulau Pinang untuk membina Pulau Pinang baru. Langkah membina kekuatan ekonomi ini sudah lama dibincangkan tetapi tidak berjaya diterjemahkan di dalam tindakan bersepadu. Sudah sekian lama umat Islam menjadi pengguna tegar dan pembeli setia produk-produk keluaran bukan Islam di Pulau Pinang. Umat Islam yang merupakan kuasa pembeli terbesar di Pulau Pinang perlu menggunakan kelebihan ini untuk membina blok kekuatan ekonomi baru.
Wawasan ini nampak seperti angan mat jenin kepada golongan yang telah menyerah kalah, Ummah Pulau Pinang bukan sekadar berwawasan tetapi telah membuat gerak kerja tersusun dan berstrategi. Kami telah membina rakan strategi dari pelbagai agensi and institusi untuk membina komuniti peniaga Muslim yang komited dengan mutu produk dan mutu perkhidmatan yang terbaik. Produk dan mutu yang terbaik pastinya akan meningkatkan keyakinan pembeli dan meningkatkan ekonomi Ummah.
Alhamdulillah kluster ekonomi Ummah Pulau Pinang telah melancarkan Tanjung business listing dan edaran buletin Tanjung . Produk dan perkhidmatan Muslim Pulau Pinang juga akan di upload di ABATA online platform ala-ala lazada atau shoppee malah lebih komprehensif lagi. Ummah Pulau Pinang juga telah melancarkan Ummah-Mart di masjid-masjid terpilih dan banyak lagi projek-projek ekonomi ummah dalam perancangan terdekat.
Kekuatan ekonomi adalah jalan yang telah di tunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila pasar Madinah dibuka untuk memecah monopoli Yahudi di bumi Madinah. Sebagai langkah praktikal, Kami menyeru Umat Islam Pulau Pinang mengutamakan produk dan perkhidmatan Muslim dan manfaatkan platform Tanjung, ABATA dan Ummah-Mart demi memartabatkan agenda Ummah yang lebih besar di bumi Pulau Pinang.