BANGI – Sejarah Pulau Pinang tidak pernah muncul sebagai sebuah entiti berdaulat yang berdiri sendiri, tegas seorang profesor sejarah sosial tempatan.
Sebaliknya, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican menjelaskan seluruh sejarah awal Pulau Pinang hakikatnya berpaksikan kedaulatan Kesultanan Kedah sejak sekurang-kurangnya abad ke-17.
Menurutnya, naratif kononnya Pulau Pinang ‘ditemui’ oleh Kapten Francis Light pada 1786 merupakan mitos kolonial yang sudah lama dikitar semula dalam buku teks serta penulisan sejarah peradaban negara yang popular bagi tujuan melenyapkan sejarah ketamadunan Melayu itu sendiri.
Walhal, beliau menegaskan pelbagai fakta dari sumber Melayu serta dokumen perjanjian British sendiri termasuk lebih 2,000 surat-surat Light membuktikan wilayah itu berada di bawah kekuasaan Sultan Abdullah Mukarram Shah yang merupakan Sultan Kedah ketika itu.
“Naratif kolonial sengaja membingkaikan 1786 sebagai titik lahirnya Pulau Pinang moden sedangkan dokumen sah menunjukkan tiada pajakan, perjanjian atau persetujuan antara British dan Kedah pada tahun tersebut.
“Hakikatnya, tahun 1786 hanyalah pencerobohan Light ke atas negeri Melayu berdaulat, bukan permulaan sebuah entiti politik baharu. Naratif kehadiran British di Pulau Pinang hanya bermula pada 1791 apabila wujud dokumen pajakan rasmi, bukan 1786 seperti tercatat dalam kebanyakan buku teks,” katanya kepada media pada Jumaat.
Ahmad Murad berkata demikian dalam satu program Bicara Persada Minda-UKM yang bertajuk ‘Merungkai Polemik Pensejarahan Malaysia: Antara Fakta Dan Tafsiran’ anjuran Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM).



