Kuala Lumpur: ‘Beliau banyak bersedekah, setiap hari walau sedikit. Damailah di sana wahai suamiku,”.
Demikian luahan seorang wanita dipercayai isteri kepada petugas kesihatan, Dr Ali Noor Hassan di Facebook miliknya.
Wanita menggunakan akaun nama Asilah Alqarny turut menegaskan kematian suaminya disebabkan ‘Acute Respiratory Distress’ dan bukan disebabkan Covid-19 atau kepenatan bertugas melawan pandemik itu.
“Tiba-tiba banyak dapat request friend (permintaan rakan) sebab sudah viral (tular), ramainya yang mendoakan arwah suami Dr Ali Noor Hassan. Beribu-ribu orang share (kongsi) dan doakan dia. Alhamdulillah,” tulisnya.
Menurutnya, suaminya banyak terbabit dengan aktiviti jemaah tabligh dan memeriksa pesakit percuma ketika Ijtimak Tabligh.
“Tidak berkira kerja dengan kawan dan dia antara yang suka ziarah sahabat serta saudara sakit. Ramai yang mesej Dr Ali antara orang pertama melawat apabila kawan kawan tak sihat,” katanya.
Menurutnya, ketika ibunya masih ada, arwah banyak memuliakan dan berbakti kepada ibu.
“Setiap kali beli lauk untuk family (keluarga) mesti akan belikan lauk yang sama untuk arwah emak dia semasa hidup.
“Mak nak ke klinik atau rawatan memang dia akan usahakan cuti untuk berkhidmat kepada mak dia,” katanya.
Katanya, ketika ibu arwah didiagnos kanser paru-paru pada Ogos 2018, arwah sanggup mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibunya.
“Sehingga ke akhir hajat mak dia di IKN (Institut Kanser Negara), dia antara yang ajar mak kalimah syahadah,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia.
Berita sedih itu disampaikan menerusi hantaran dimuat naik Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di Facebook (FB).
Dalam hantaran itu, SPJM berkongsi gambar terakhir Dr Ali yang sempat diambil rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat selepas bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.
Difahamkan beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan.
Sumber Harian Metro