Erti Kemerdekaan Yang Kian Pudar

0
38

Setelah lebih kurang 446 tahun Tanah Melayu dijajah oleh penjajah dari Portugal, Belanda, British dan Jepun, akhirnya pada 31 Ogos 1957 Perjanjian London telah dimeterai antara Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dengan kerajaan British dan British bersetuju untuk memerdekakan Tanah Melayu. Tergambar suasana kemeriahan pengumuman merdeka oleh Tunku Abdul Rahman di corong Radio Malaya pada malam merdeka. Bendera Union Jack diturunkan pada hari pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu dan ini menunjuk berakhirnya pemerintahan British di tanah yang berdaulat itu dan bendera Jalur Gemilang dinaikkan sambil diiringi oleh lagu Negaraku. Walaupun kita tidak berada di sana untuk menyaksikan peristiwa yang bersejarah itu, sudah pasti bahawa air mata kita juga turut mengalir jika membaca kronologi pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu kerana sudah cukup lama Tanah Melayu di jajah.

Banyak warga yang menjadi korban penjajah. Harta dijarah dan diambil oleh mereka secara paksa. Anak gadis dijadikan tempat melepaskan nafsu serakah mereka. Pemuda dikerah untuk menjadi buruh bagi pihak mereka. Ramai anak tempatan hilang tanpa khabar berita. Dengan kekejaman pihak penjajah ini sudah cukup untuk kita merayakan serta meraikan hari kemerdekaan negara kita dan nikmat ini merupakan satu nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita dan wajib untuk kita syukuri serta menggunakan kenikmatan ini di jalan kebaikan.

Di dalam Al-Qur’an, pada surah Ibrahim ayat yang ke-7, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Ak u akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.

Tidak lama lagi negara Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 2023. Ini menunjukkan bahawa sudah 66 tahun Malaysia mengecapi nikmat kemerdekaan. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan, tuntutan dan juga berdiri sendiri serta tidak bergantung pada yang lain.

Menurut tokoh seperti Pendeta Za’ba, kemerdekaan ialah berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia daripada iktiqad-iktiqad yang serong dan terpesong kepada iktiqad yang subur dan merdeka, daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan, dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.

Berdasarkan kepada takrif yang dibawa oleh Pendeta Za’ba, jika kita merenungi kembali hakikat erti kemerdekaan pada hari ini, walaupun negara sudah merdeka dari penjajah, tetapi adakah pemikiran, akhlak dan tingkah laku kita sudah merdeka?

Pada zaman sekarang terlalu banyak budaya Barat yang bersalahan dengan agama Islam yang meresapi masuk ke dalam anak muda. Banyak budaya Barat yang menyebabkan terjadinya iktiqad yang boleh menyerongkan aqidah umat Islam seperti LGBT dan model pemerintahan Barat yang zalim serta tidak bertepatan dengan agama Islam seperti pemerintahan liberal atau sekular.

Ini adalah bukti bahawa masyarakat masih dihimpit dengan budaya yang mundur dan pemikiran masih lagi dijajah. Oleh itu, pentingnya agama untuk mengekang perkara ini dan agamalah yang menjadi solusi untuk melawan ’penjajah moden’. Kita tidak menafikan bahawa Islam membolehkan hiburan tetapi hiburan yang melampau, yang menjejas aqidah, yang merosakkan nilai murni, wajib untuk dibanteras.

Apa guna kemajuan yang dicapai, pencakar langit yang gah tetapi hakikatnya masih dijajah pemikiran dan masih lemah pegangan agamanya. Hadirnya Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa risalah daripada Allah adalah untuk membebaskan manusia daripada sikap jahiliah yang terdiri daripada kebodohan dan kezaliman dan inilah makna merdeka sebenar dan bertepatan dengan definisi daripada Pendeta Za’ba. Maka, erti kemerdekaan sebenar adalah keluar daripada kejahilan, kebodohan dan kezaliman yang ada dalam diri dan memerdekakan diri daripada pengabdian kepada manusia dan harta.

Islam datang untuk membebaskan manusia dari belenggu penjajahan minda dan jiwa kepada keduniaan semata-mata hingga menjadi hamba dunia, hamba material dan hamba nafsu. Inilah penjajahan yang menghinakan kemanusian kerana tidak mengenal hakikat kehidupan sebenarnya.

Ingatlah ketika sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Rib’I ibnu ‘Amir mengeluarkan kata-kata yang masyhur di hadapan panglima Rustum dari Parsi, “kami datang untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”. Inilah perjuangan kemerdekaan.

Hari ini, kita kecapi kemerdekaaan. Cabaran hari ini adalah untuk kita menghayati kemerdekaan dengan penuh kesyukuran. Kita tidak perlu melawan penjajah secara berperang tetapi kita perlu mengisi kemerdekaan dengan agenda kita. Kita isi kemerdekaan dengan wawasan kita. Kita isi kemerdekaan dengan cara kita. Inilah MERDEKA!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here