30 C
George Town
Wednesday, July 10, 2024

Tujuh ‘keldai akaun’ ditahan babit kerugian RM325,532

Mesti Baca

BALIK PULAU: Polis menahan lima lelaki dan dua wanita yang dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ kepada pelbagai sindiket penipuan sehingga menyebabkan beberapa mangsa kerugian RM325,332 dalam kejadian di daerah Barat Daya, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kesemua mereka termasuk seorang warga emas itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya secara berasingan di sekitar negeri ini semalam.

“Dalam kes membabitkan seorang mangsa dengan kerugian RM190,000, polis menahan seorang wanita berusia 20 tahun selepas dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket penipuan.

“Sindiket itu telah memperdaya mangsa yang tinggal di Balik Pulau di sini melalui penipuan ‘Phone Scam’ dengan menyamar sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat kurier sehingga dia melakukan enam transaksi ke akaun bank membabitkan jumlah RM190,000,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya bagi kes lelaki warga emas berusia 61 tahun pula, suspek dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ sindiket pelaburan Bitcoin yang tidak wujud secara dalam talian sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM50,000.

Kamarul berkata kes berikutnya membabitkan penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun kerana menjadi ‘keldai akaun’ sindiket memperdaya mangsa dengan pinjaman dalam talian yang tidak wujud sehingga mangsa kerugian RM44,120.

“Dalam kes lain, kami juga menahan seorang wanita berusia 20 tahun kerana menjadi ‘keldai akaun’ sindiket memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman yang tidak wujud secara dalam talian menyebabkan kerugian RM23,550,” katanya.

Menurutnya tiga lagi lelaki berusia 33 hingga 49 tahun ditahan membabitkan kes berasingan menyebabkan mangsa-mangsa kerugian antara RM3,822 hingga RM7,240.

Katanya semua tujuh individu yang ditahan itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu.

Sumber: Bernama

- Advertisement -spot_img

Artikel-artikel lain

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisement -spot_img

Artikel Terbaru