26.8 C
George Town
Tuesday, February 10, 2026

ZAKAT PULAU PINANG: SPRM DIMOHON MENYIASAT DAKWAAN KONFLIK PENGURUSAN DUIT ZAKAT

Mesti Baca

Pulau Pinang | Agenda Ummah

Satu laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujudnya konflik kepentingan dan salah guna kuasa dalam pembelian sebidang tanah di Sungai Bakap yang melibatkan penggunaan dana zakat bernilai RM9 juta.

Laporan tersebut adalah susulan pendedahan yang dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada November 2025 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, yang mempertikaikan justifikasi serta proses kelulusan pembelian tanah berkenaan oleh pihak berkaitan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Isu Konflik Kepentingan

Antara perkara utama yang dimohon untuk disiasat oleh SPRM ialah status pemilikan asal tanah tersebut, yang didakwa dimiliki oleh seorang individu yang juga merupakan Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang serta mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Pembelian tanah tersebut menggunakan dana zakat menimbulkan persoalan serius dari sudut tadbir urus, ketelusan dan konflik kepentingan.

Penolakan Awal Jabatan Mufti

Menurut maklumat yang diterima, Jabatan Mufti Pulau Pinang dilaporkan telah menolak cadangan pembelian tanah tersebut atas alasan pulangan hasil yang terlalu rendah. Tanah berkenaan didakwa hanya mampu menjana hasil sekitar RM17,000 setahun, yang secara matematiknya tidak munasabah jika dibandingkan dengan harga pembelian RM9 juta.

Sebagai perbandingan, walaupun hasil tersebut dikira selama 100 tahun, jumlahnya hanya sekitar RM1.7 juta, masih jauh lebih rendah daripada nilai pembelian asal — sekaligus menimbulkan persoalan besar terhadap prinsip maslahah dan keutamaan agihan dana zakat.

Dokumen Diserahkan kepada SPRM

Difahamkan, semua dokumen berkaitan telah diserahkan kepada pegawai SPRM pada jam 11 pagi hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan bebas.

Pihak pelapor menegaskan bahawa mereka menghormati proses undang-undang dan akan menunggu hasil siasatan rasmi oleh SPRM sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Lebih Banyak Laporan Dijangka

Sumber turut memaklumkan bahawa beberapa lagi laporan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dijangka akan menyusul, melibatkan isu-isu tadbir urus dan integriti institusi.

Agenda Ummah Pulau Pinang berpandangan bahawa isu pengurusan dana zakat bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi menyentuh amanah umat, keadilan sosial dan kepercayaan rakyat terhadap institusi agama. Oleh itu, siasatan yang telus dan berintegriti amat penting demi memelihara maruah institusi serta memastikan dana zakat benar-benar sampai kepada golongan yang berhak.

Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan melaporkan sebarang maklumat sahih berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.

- Advertisement -spot_img

Artikel-artikel lain

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisement -spot_img

Artikel Terbaru