Kewujudan raja atau YDPA, dalam konteks demokrasi menjadi sebab tiada siapa dalam negara ini yang boleh sewenang-wenangnya berkuasa dan tidak ada parti politik atau kumpulan yang boleh semberono mengisytiharkan diri telah ‘memiliki majoriti’ ke atas negara ini sehingga mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat dan menjejaskan keamanan negara. Mereka perlu terlebih dahulu mempersembahkan buktinya kepada YDPA dan institusi diraja.
Maka, ternyata benar pepatah ‘raja payung negara’ yang menjadi perisai atau pelindung rakyat, YDPA penjaga perlembagaan serta perungkai kekusutan politik yang selama ini mungkin kedengaran retorik.
Malaysia mengamalkan sistem Persekutuan. Ia menjelaskan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Apa yang paling signifikan, kewujudan sistem Persekutuan hanya dapat dizahirkan apabila Raja-raja Melayu sanggup mengorbankan sebahagian besar kuasa baginda menerusi Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948.
Berikutan itu, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dizahirkan pada 1 Februari 1948. Dari segi struktur pentadbiran, sistem pentadbiran disusun secara sistematik. Ia membabitkan tiga struktur utama iaitu legislatif (badan perundangan), eksekutif (badan pelaksana dasar) dan judiciary (badan kehakiman).
Ketiga-tiga institusi ini memperihalkan bidang kuasa tersendiri. Sebagai ketua negara, Yang di-Pertuan Agong bertindak menaungi ketiga-tiga institusi sistem pentadbiran itu. Bagi rakyat pula, sistem sosial dibangunkan.
Rakyat memegang kukuh kehidupan beragama. Islam menjadi anutan orang Melayu. Sistem pendidikan dan sistem sosial pelbagai bangsa dibangunkan.
Sosioekonomi rakyat turut berkembang, selari sistem kesultanan yang dilatari konsep kerajaan kelautan. Implikasinya rantau Nusantara didatangi pedagang dari segala pelosok dunia.
Di samping itu, negara kita mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen. Ia bermula dengan pilihan raya umum (PRU) pertama pada 27 Julai 1955.
Sehingga kini, negara mengadakan 14 kali PRU yang menentukan parti dan pemimpin mana yang mendapat mandat rakyat untuk memerintah negara dan negeri. Parti berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan dibenarkan bertanding mengikut kemampuan dan pengaruh mereka.
Di sinilah, rakyat diberi peluang menentukan pemerintah negara. Dalam konteks ini, kedaulatan rakyat dimartabatkan.
Senario ini jelas menunjukkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja induk kuasa dalam sistem pemerintahan negara.
Rumusannya, sistem pemerintahan beraja menjadi pelengkap serta semak dan imbang kepada sistem pemerintahan demokrasi. Inilah yang menjadi asas kestabilan politik Malaysia selama ini.
Kestabilan politik ini pula menyumbang keharmonian dan kesepaduan sosial, kemakmuran ekonomi dan kesohoran global.
Dalam politik Malaysia yang semakin kompleks, peranan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja semakin relevan dan signifikan.