Perjuangan Sejarah Melayu Pulau Pinang adalah untuk mengungkapkan sejarah umat Islam Pulau Pinang. Dengan cara ini, kita akan memahami perkembangan umat Islam Pulau Pinang, yang berasal dari pelbagai keturunan – Melayu, Aceh, Arab, Benggali, Jawa, Malabari, Palembang, Minang, Mandailing, Pathan, Punjabi, Tamil dan seterusnya.
Masjid Batu Uban telah diasaskan oleh Nakhoda Nan Intan pada tahun 1734 dan berasal daripada Kampung Buadi, Paya Kumboh, Sumatera dan mempunyai hubungan dengan kerabat diraja Minangkabau. Nakhoda Nan Intan merantau ke Pulau Pinang bersama dua lagi bahtera, dan singgah di Batu Uban, satu lagi bahtera singgah di Bayan Lepas (Nakhoda Bayan) dan bahtera ketiga singgah di Jelutong (Nakhoda Kecil). Ini adalah antara figura penting sejarah awal Pulau Pinang.
Masyarakat awal di sini dahulu menjalankan aktiviti-aktiviti harian dengan penanaman kelapa, lada dan tebu di sebelah Batu Uban bukit, merupakan antara kawasan yang terkenal sebagai pendakwahan Islam selain antara golongan yang banyak bergaul dengan Jannatun ialah mereka yang berasal daripada keturunan India-Muslim dan mempunyai pangkal nama “Merican”, malahan kebanyakan mereka (Merican) adalah saudagar kaya yang berniaga intan berlian,
Sejarah umat Islam di Pulau Pinang cukup menarik, dari masyarakat pribumi sebelum kedatangan British ke zaman Pulau Pinang menjadi tumpuan perdagangan Aceh, benua Arab dan India sampai kepada masa Pulau Pinang menjadi pusat persuratkhabaran Melayu, pendidikan Islam, pekerjaan Haji dan pementasan Boria dan Bangsawan.
Kita mesti melihat keberadaan warisan dan adat resam umat Islam yang kini terancam dek pembangunan. Banyak kediaman tokoh-tokoh bersejarah seperti Syed Shaikh al-Hadi, Ahmad Rashid Talu dan Mohd. Ariff, telah tergadai atau terjual. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyelamatkan dan mempertahankan penempatan pra-British seperti Dato’ Kramat di Jalan Perak dan Batu Uban. Penempatan pesisir seperti Tanjung Tokong dan Bagan Jermal; pemukiman-pemukiman sepanjang Sungai Pinang serta pemukiman kota seperti di Lebuh Acheh, Jalan Hatin, Jalan Kedah, pemukiman luar kota seperti Balik Pulau dan Seberang Prai.
kita juga patut menyelamatkan pondok, madrasah dan percetakan awal di samping bangunan-bangunan yang mempunyai kaitan dengan tokoh-tokoh bersejarah seperti Sheikh Omar Basheer dan Tengku Kudin, dan makam-makam dermawan seperti Kapitan Keling dan Mohamed Noordin.
Jangkauan hubungan kemasyarakatan umat Islam Pulau Pinang tidak terbatas kepada pertalian sesama sendiri sahaja tetapi mencakupi kaum bukan Islam. Perkongsian perniagaan antara kaum, perikatan politik dan perkahwinan campur menjadi kebiasaan. Ketara pertumbuhan umat Islam di Pulau Pinang terbentuk dalam suasana kemajmukan, dan ini tercermin dalam warisan pelbagai budaya dan seni bina yang dapat ditemui di Pulau Pinang, hari ini. Perbauran antara pendatang dan penduduk asal menghasilkan kebudayaan Jawi Peranakan yang kaya dan istimewa kepada Pulau Pinang.
Sejarah kaum Melayu Selat di Pulau Pinang telah dikaburi oleh penulisan-penulisan kolonial British yang memulakan pengkisahan Pulau Pinang dari tarikh Francis Light mengasaskan Pulau Pinang dalam tahun 1786. Justeru itu, ahli-ahli sejarah tidah mementingkan sejarah pra-kolonial politik, ekonomi dan sosial Pulau Pinang yang sebenarnya berkembang melalui sistem pentadbiran dan politik pribumi Melayu, sepertimana yang dibincangkan dalm tulisan-tulisan etnologi dan etnografi di Semenanjung.
Pulau Pinang dan Seberang Prai telah diduduki oleh kaum Melayu dan perkampungan nelayan Melayu. Kesemua kaum-kaum Nusantara itu telah membangunkan Pulau Pinang dengan kegiatan perdagangan. Manakala keturunan daripada Arab, Tamil, Punjabi, Bengali, Gujerati dan Afghani amat tertarik dengan pertumbuhan ekonomi pulau ini dan terus mengambil kesempatan menjalankan perdagangan rempah, kain, bawang dan emas.
Proses difusi budaya dan bangsa serta assimilasi sosial telah berlaku dengan pantasnya kerana kebanyakan pedagang-pedagang ini telah bernikah dengan perempuan Melayu tempatan untuk mengekalkan tempat dan status mereka dalam masyarakat Islam di sini. Justeru itu, maka wujudlah kaum Jawi Pekan atau Melayu Pekan yang terasing dari kaum-kaum nelayan Melayu di tepi pantai pulau ini. Budaya dan sistem sosial kaum-kaum ini berbeza dari segi institusi-institusi sosial tempatan yang diamalkan. Umpamanya, kaum Melayu mengekalkan sistem kepimpinan penghulu, sistem pasar pagi, pasar malam dan sistem persekolahan pondok, manakala, kaum Jawi Pekan telah mementingkan sistem kepimpinan Kapitan, Sherif dan Nazir yang berdasarkan masjid perkauman, chowrasta, dan sekolah madrasah.
Hari ini, sejarah Pulau Pinang sudah makin lesu dan hilang jati dirinya. Sejarawan tidak berlaku adil untuk mengangkat budaya asal negeri ini. Kepimpinan politik yang lemah dikalangan orang Melayu menyebabkan sejarah asal negeri ini di matikan. Usaha gigih perlu dijayakan untuk mengangkat Kembali identiti Pulau Pinang yang berteraskan Islam dengan budaya masyarakat yang unik dan rencam.
Inilah keunikan Pulau Pinang. Inilah warisan kita !
Sayangnya hari ini, oleh kerana kelemahan penguasaan politik Melayu Pulau Pinang, budaya baru menguasai Pulau Pinang. Budaya asing menjadi warna baru Pulau Pinang. Budaya asing menjadi teras, mewakili seni dan identiti Pulau Pinang.
Saya menyeru agar sebelum nasi menjadi bubur ….Melayu Pulau Pinang perlu sedar dan Bersatu untuk menyelamatkan Pulau Pinang dari usaha penghapusan identiti ini.
Dr Zaki Ibrahim
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ummah